Tuesday, March 17, 2009

Adun Hulu Klang diminta mohon maaf buat tuduhan wang zakat

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), hari ini meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Hulu Klang, Saari Sungib, memohon maaf dan menarik balik dakwaan kononnya berlaku pemindahan wang zakat jutaan ringgit yang tidak diagihkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, berkata kenyataan Saari itu adalah satu fitnah yang menjatuhkan imej dan integriti MAIS yang dinaungi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"MAIS mahupun LZS tidak pernah memindah atau merancang untuk melakukan sedemikian terhadap wang zakat yang belum diagihkan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau meminta supaya Saari memohon maaf dan menarik balik kenyataan atau berhadapan dengan tindakan undang-undang sekiranya gagal berbuat demikian.

Sebuah akhbar hari ini memetik Saari sebagai berkata, berjuta-juta ringgit wang kutipan LZS yang tidak diagih sebelum ini disimpan dalam deposit tetap, dipindahkan ke akaun Takaful Structured Invest, di bawah MAA Takaful pada 11 Disember tahun lalu.

Mohamad Adzib berkata, apa yang berlaku ialah wang zakat yang belum diagihkan disimpan dalam akaun simpanan tetap sama ada di Bank Islam ataupun Bank Rakyat yang dijamin daripada segi keselamatan dan mengikut hukum syariah.

"Sebarang pindahan wang zakat mahupun Baitulmal perlu mendapat kelulusan jawatankuasa yang berkaitan sama ada di MAIS ataupun LZS," katanya. - Bernama

Truth Watch: Kadang-kadang Adun ini pandai-pandai buat kenyataan tanpa usul periksa. Sekarang Mais hendak saman kan dah susah. Lain kali buat kaji selidik dulu dan bila pasti baru keluarkan sebarang kenyataan atau tuduhan.

No comments: